Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

7,000 tabligh tampil buat saringan – Menteri Kesihatan

SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 7,000 jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur membuat pemeriksaan saringan Covid-19 sehingga hari ini, kata  menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ramai mula membuat pemeriksaan selepas pucuk pimpinan jemaah menggesa semua tabligh daripada 28 markas di seluruh negara agar mematuhi arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami (KKM) mengambil serius menangani wabak ini, oleh itu 830 jururawat baru mula ditugaskan menjalankan kerja-kerja saringan di seluruh negara bermula hari ini.

“Jururawat lantikan kontrak selama dua tahun ini terdiri daripada mereka yang menamatkan pelajaran di bawah KKM,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong menyeru semua jemaah yang menyertai perhimpunan tabligh pada 27 Februari hingga 1 Mac diminta tampil membuat pemeriksaan di mana-mana hospital berdekatan.

“Semua aktiviti membabitkan jemaah tabligh juga perlu dihentikan serta-merta buat masa ini.

“Kami berharap keputusan ini dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.


Pengarang :