Pekerja kedai makan dilihat mengemas kerusi dan meja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perintah kawalan: Semua pasar dihalang operasi, restoran hanya penghantaran

SHAH ALAM, 17 MAC: Semua pasar dan kedai makan di Selangor tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan membabitkan pasar pagi, pasar malam dan pasar karat atas sebab keselamatan, sekali gus mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Untuk restoran dan kedai makan, mereka hanya dibenarkan beroperasi untuk penghantaran sahaja, manakala orang awam tidak boleh makan di situ.

“Justeru, saya berharap langkah ini diikuti seluruh rakyat Selangor dan polis akan meningkatkan rondaan serta mengambil tindakan tegas jika ada yang menganjurkan perhimpunan membabitkan 50 orang,” katanya dalam perutusan khas selepas mempengerusikan mesyuarat bersama EXCO, hari ini.

Mesyuarat itu susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.


Pengarang :