Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Keramat pada 11, April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

5,000 anak muda lega, bayaran balik pinjaman dibeku

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pembekuan bayaran balik pinjaman pelajaran Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor selama enam bulan dijangka melegakan 5,000 peminjam di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua  membantu golongan anak muda yang membuat pinjaman mengharungi cabaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya harap wang yang dijimatkan dalam tempoh April hingga September ini mampu sedikit sebanyak melegakan 5,000 orang yang terlibat,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tujuh pembiayaan pendidikan ditawarkan Kerajaan Negeri ialah Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor, Peduli Siswa (Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara) dan Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara.

Pinjaman lain membabitkan Program Khas Selangor Brain Bank, Program Khas Kakitangan Awam Selangor, Program Khas Biasiswa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Biasiswa Sagong Tasi.

Pada 1 April lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19.

Pengumuman itu susulan pengumuman fasa pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin pada 20 Mac lalu membabitkan dana RM127.8 juta.


Pengarang :