Siti Jaslin dan Muhammad Ameer gembira kerana Jais memudahkan urusan perkahwinan mereka pada 22 April 2020 ketika negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
AGENDANASIONAL

Nikah secara sidang video, tular sampai AS, Indonesia

SHAH ALAM, 26 APRIL: Pasangan pengantin dari Seri Kembangan yang dinikahkan menerusi sidang video oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 22 April lalu tidak sangka kisah mereka tular sampai ke luar negara.

Siti Jaslin Johari, 25, berkata urusan perkahwinannya bersama pasangan, Muhammad Ameer Ashraf Norhisham, 25, sangat mudah dan cepat walaupun kaedah pernikahan tersebut baru dilaksanakan.

Teruja dengan pernikahan secara dalam talian, Siti Jaslin memuat naik pengalamannya bergelar isteri menerusi Twitter.

“Kisah saya dikongsi pengguna Twitter sebelum ia tular sampai ke Amerika Syarikat (AS) dan juga Indonesia. Rata-rata penduduk luar negara sana memuji kerajaan terutama Jais yang membantu pasangan ingin berkahwin.

“Mereka juga berpendapat pelaksanaan nikah secara sidang video melambangkan ciri-ciri betapa Islam sering kali memudahkan umatnya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Menceritakan kisahnya, Siti Jaslin dan suami pada awalnya merancang untuk bernikah pada 4 April, namun ia terpaksa dibatalkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan.

Masih tidak berputus asa, mereka cuba mempercepatkan tarikh kepada 25 Mac, namun tetap tidak dibenarkan ekoran lima jurunikah Jais yang disyaki dijangkiti Covid-19.

“Setiap hari saya memantau berita daripada Jais dan akhirnya agensi itu umumkan akan melaksanakan nikah secara sidang video pada 20 April lalu,” katanya.

Pernikahan menerusi aplikasi Skype turut dirakam Jais bagi tujuan rekod dan bukti.

Cerita Siti Jaslin lagi, pernikahan dilakukan secara tiga hala iaitu pengantin perempuan yang turut disertai wali dan saksi, pengantin lelaki dan jurunikah.

“Tetapi pengantin lelaki perlu melakukan bacaan akad nikah sebanyak dua kali untuk kejelasan dan bacaan lafaz taklik juga dibuat sama seperti pernikahan lain,” katanya.

Kini Siti Jaslin bersyukur kerana urusan perkahwinan sudah selesai dan berharap supaya keadaan kembali seperti biasa tidak lama lagi.


Pengarang :