Petugas kesihatan menunjukkan sampel yang diambil ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu hasil inisiatif Kerajaan Negeri bersama Klinik Selcare dan dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah dilakukan di Seksyen 7, Shah Alam pada 18 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk Kelab Golf Bukit Beruntung bebas Covid-19

SHAH ALAM, 8 MEI: Saringan Komuniti Bersasar di Kelab Golf Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 22 April lalu tidak menemui jangkitan Covid-19 di lokasi tersebut.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook malam tadi memaklumkan, sebanyak 382 sampel penduduk di kawasan berkenaan diambil untuk ujian.

“Saringan Komuniti bersasar dijalankan sebagai satu pendekatan ‘Kesan Awal, Asing Awal, Rawat Awal’ bagi menurunkan kadar penularan dan kadar kematian ke tahap lebih rendah

“Sebanyak 382 sampel dapat diambil dan sukacita dimaklumkan bahawa kesemua sampel mencatatkan keputusan negatif iaitu tiada jangkitan Covid-19,” tulisnya.

STFC memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut terlibat dalam mesyuarat gerak kerja operasi dan bersetuju dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang mengikut SOP Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kit ujian yang digunakan adalah rt-PCR (tindak balas berantai polimeras masa nyata) seperti diluluskan oleh KKM,” tambah STFC.

Pada 28 April lalu, seramai 10 orang daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar di bawah inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Negeri disahkan positif Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lapan daripada 10 kes positif terbabit merupakan pesakit tidak bergejala.

Kerajaan Negeri memulakan beberapa siri pemeriksaan Saringan Komuniti Bersasar di kawasan zon merah bagi membantu melandaikan keluk dan putuskan rantaian wabak tersebut.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat; Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri,Shah Alam; Petaling dan Klang; Shah Alam; Sepang; Hulu Selangor serta Gombak.


Pengarang :