Pengunjung memilih baju raya di Kompleks PKNS, Shah Alam sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan pada 18 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM sarankan `raya tertutup antara ahli keluarga sahaja’

SHAH ALAM, 18 MEI: Umat Islam yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan dinasihatkan mengelakkan amalan mengunjungi rumah saudara-mara atau menziarah kubur, kata ketua pengarah kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebaliknya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setiap individu digalakkan untuk beraya bersama keluarga di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

“Memang menjadi kelaziman umat Islam ziarah kubur dan kunjung-mengunjungi pada setiap Hari Raya Aidilfitri namun untuk tahun ini sahaja kalau boleh raya tertutup antara kita dan keluarga sahaja.

“Hal ini kerana rantaian Covid-19 masih wujud dalam komuniti. Jika seseorang itu terdedah kita bimbang virus akan merebak kepada mereka yang tidak dijangkiti,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai bekas pesakit Covid-19 sama ada boleh beraya, Dr Noor Hisham berkata, mereka dinasihatkan untuk terus kuarantin selama 14 hari dan kekal patuh tatacara operasi piawai (SOP) KKM.

“Pesakit yang sembuh kita memang benarkan mereka keluar hospital tetapi mereka perlu jalani kuarantin selama 14 hari dan dalam tempoh itu tidak dibenarkan ada pelawat. Selesai kuarantin mereka masih perlu patuhi SOP,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai penguatkuasaan saman terhadap individu yang degil dan mahu pulang ke kampung bagi tujuan beraya.

“Sekarang ini kita masih menggunakan kaedah nasihat untuk mereka patah balik namun jika masih berdegil penguatkuasaan saman akan dilaksanakan,” tegas Noor Hisham.


Pengarang :