Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

47 pesakit baharu Covid-19, tiada kematian hari ini

SHAH ALAM, 18 MEI: Sebanyak 47 kes positif Covid-19 dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, kata ketua pengarah kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 21 kes membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 26 kes lagi melibatkan penularan tempatan dengan 17 warga asing.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini meningkat kepada 6,941 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,213 kes,” kata beliau pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 44 kes pula pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 5,615.

“Sehingga kini, terdapat 13 kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi manakala enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, tiada pertambahan kes kematian hari ini dan jumlah angka korban akibat wabak kekal  113 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 


Pengarang :