Ketua Zon Empat Hulu Langat, Penguasa Kanan Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof memantau keadaan kawasan kejadian tanah runtuh yang melibatkan tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Bomba pantau kawasan tanah runtuh selama dua minggu lagi

SHAH ALAM, 1 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mungkin memantau kawasan terjejas tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa selama dua minggu lagi, kata pengarahnya.

Norazam Khamis berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga selain memastikan tidak lagi berlaku ancaman baharu kepada penduduk sekitar, lapor BH Online.

“Kita akan tengok keadaan semasa dalam seminggu, dua ini. Jika tiada ancaman baharu mungkin hanya seminggu sahaja anggota bomba diletakkan di sini.

“Tetapi paling lama saya jangka dua minggu selepas itu pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih sepenuhnya urusan membabitkan insiden ini,” kata beliau.

Sekitar 2.21 pagi kelmarin, semua penghuni terlibat diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut melawat kawasan kejadian memutuskan membiayai penginapan mereka yang terkesan di Hotel de’ Palma bagi tempoh seminggu sebelum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencari rumah sewa.


Pengarang :