AGENSISELANGOR

Mais: 497 golongan LGBT berjaya pulih tahun lalu

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 497 golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berjaya dipulihkan sepanjang tahun lalu, menurut Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Setiausahanya, Ahmad Shahir Makhtar berkata agensi itu bertindak secara proaktif memulihkan golongan tersebut dengan pembiayaan penuh peruntukan zakat asnaf al-Riqab.

“Tujuan kami untuk membantu golongan ini melalui proses pemulihan dan bimbingan dalam program yang dijalankan oleh Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan dan pihak berdaftar di bawah Mais.

“Mereka ini secara aktif melaksanakan program membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memerdekakan golongan ini supaya dapat menjalani kehidupan sempurna menurut Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mais menyeru semua individu muslim yang terlibat dengan masalah akidah dan sosial untuk menyertai program pemulihan yang terdapat di rumah pemulihan berdaftar dengan menghubungi Bahagian Pemulihan al-Riqab Mais di talian 03-3361 4080.


Pengarang :