Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.
AGENDANASIONAL

KKM kesan dua kluster baharu di Selangor dan Kedah

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 di Pelabuhan Klang, Selangor dan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster MV Glen di Selangor berpunca daripada seorang kru kapal yang disahkan positif pada 25 Ogos dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Seramai lapan individu disaring setakat ini dengan dua daripadanya positif dan selebihnya negatif. Kes pertama merupakan kes import bukan warganegara manakala kes kedua membabitkan rakyat tempatan yang dilantik sebagai ejen oleh syarikat perkapalan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan sudah dijalankan di kapal tersebut dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Bagi Kluster Telaga di Kedah pula, beliau berkata pesakit merupakan kontak rapat kepada kes indeks yang dikesan positif pada 24 Ogos dengan kedua-duanya merupakan petugas kesihatan.

“Mereka bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah namun tidak terlibat dengan pesakit Covid-19. Setakat ini, seramai 374 orang disaring membabitkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain dengan dua daripadanya positif manakala 372 lagi negatif.

“Sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital namun tidak menjejaskan operasi. Jangkitan disyaki berpunca dalam kalangan komuniti,” kata Dr Noor Hisham.


Pengarang :