Seorang pekerja kesihatan yang memakai sut perlindungan diri (PPE) menyusun katil hospital bagi merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 catat satu kematian lepas sebulan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Satu kes kematian akibat Covid-19 dilapor hari ini selepas kali terakhir direkod pada 31 Julai lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian terbaharu membabitkan lelaki warganegara berusia 75 tahun, menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia seramai 126 orang.

“Kes ke-9,290 mempunyai latar belakang penyakit kronik dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 7 Ogos lalu selepas mengalami batuk dan sesak nafas.

“Beliau yang dibenarkan keluar pada 18 Ogos kemudian mendapatkan semula rawatan di hospital sama pada 24 Ogos dan disahkan positif Covid-19 sebelum meninggal dunia semalam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 17 kes baharu dilapor hari ini membabitkan 15 kes import dan dua penularan tempatan, dengan keseluruhan kes sebanyak 9,334.

Beliau berkata 10 pesakit lagi berjaya sembuh, menjadikan kes sembuh sebanyak 9,048 atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tujuh kes dirawat di unit rawatan rapi dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.


Pengarang :