SHAH ALAM, 9 SEPT: Lelaki muslim tanpa uzur syarie diingatkan tidak meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata golongan itu juga wajib membuat permohonan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.
“Hukum menunaikan solat Jumaat bagi lelaki yang mukallaf adalah wajib dan berdosa jika sengaja meninggalkannya tanpa uzur syarie dan tidak membuat sebarang permohonan.
“Dalam tempoh PKPP, solat tersebut perlu dibuat secara penggiliran kerana masjid dan surau harus mengikut penjarakan fizikal 1.5 meter. Mereka yang sudah mendapat pengesahan kehadiran wajib menunaikan solat,” katanya.
Kenyataan tersebut dipetik dari soalan lazim berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) masjid dan surau di negeri ini yang disiarkan di Facebook.
Jais memaklumkan kelonggaran hanya diberi kepada individu yang gagal setelah berusaha mendaftar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.
“Mereka yang gagal setelah berusaha mendaftar terlepas daripada kewajipannya dan menggantikannya dengan solat Zuhur,” kata agensi tersebut.