Orang ramai menunaikan solat sunat gerhana (Khusuf) yang diimamkan oleh Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan, Mohd Zamri Abdul Halim sempena fenomena Gerhana Matahari Anulus (cincin) di Masjid Wilayah hari ini. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Jais: Wanita, kanak-kanak dibenar solat jemaah di masjid

SHAH ALAM, 9 SEPT: Wanita, kanak-kanak dan warga emas dibenar solat berjemaah di masjid dan surau seluruh negeri, kata Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jabatan itu berkata hanya kanak-kanak yang boleh dikawal sepenuhnya oleh ibu bapa serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dibenarkan hadir.

“Bagi jemaah wanita pula, mereka boleh hadir untuk menunaikan solat fardu lima waktu berjemaah serta menghadiri program pengimarahan, namun dengan syarat masjid dan surau mempunyai ruang khas yang dikhususkan untuk muslimat.

“Syarat kedua, ruang jemaah wanita tidak mengganggu jumlah kapasiti ruang solat jemaah lelaki, kemudian, ia mempunyai laluan khas keluar masuk jemaah muslimat serta menyediakan petugas muslimat bagi mengawal jemaah untuk mematuhi SOP,” menurut soalan lazim agensi itu di Facebook.

Ia juga berkata jemaah berusia lebih 60 tahun dibenarkan hadir dengan syarat dalam keadaan sihat, tidak uzur, tidak bergejala dan tidak berpenyakit kronik.

Bermula 3 Julai lalu, Jais membenarkan semua masjid dan surau dibuka untuk solat Jumaat dan fardu.

Namun tindakan tegas akan diambil jika berlaku pelanggaran SOP dan pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik semula kelonggaran yang diberi demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan jemaah serta imej Islam.


Pengarang :