Virus Covid-19 dikesan kali pertama di Wuhan, China, dilihat dalam ilustrasi yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENSISELANGOR

Covid-19: Selangor rekod sifar kes, jangkitan terkawal

SHAH ALAM, 14 SEPT: Tiada kes baharu Covid-19 dicatat di Selangor hari ini dan bilangan kes aktif kurang lima selama 41 hari berturut-turut.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata jangkitan pandemik itu di negeri ini masih terkawal dengan jumlah kes terkumpul kekal 2,194.

“Ingin ditekankan bahawa kes aktif di Selangor ketika ini hanyalah dua sahaja. Jika tiada penularan tempatan dan kes aktif sembuh, seluruh negeri bakal menjadi zon hijau,” tulis pasukan itu di Facebook.

Dua kes tersebut direkod di Hulu Langat. Klang diisytihar zon hijau semula susulan bebas kes aktif.

STFC turut mengingatkan orang ramai mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan membasuh tangan secara kerap bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kes baharu bagi seluruh negeri kelihatan semakin reda dengan 31 kes dilaporkan hari ini.

“Sabah masih mencatatkan dua digit iaitu 25 kes baharu. Dengan itu, 615 kes aktif direkodkan bagi seluruh Malaysia ketika ini yang boleh menyebabkan jangkitan,” katanya pasukan itu lagi.


Pengarang :