Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
PENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Lima strategi perkasa ekonomi bermaruah, paksi kecekalan rakyat

Oleh: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari

Belanjawan Selangor 2021 telah selesai dibentangkan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020 bersamaan Jumaat 13 Rabiulawal 1442 Hijrah.

Belanjawan ini yang bertemakan “Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat”, memperuntukkan RM2.323 bilion bagi perbelanjaan tahun 2021 yang mampu mencipta 15,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor, terutamanya mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

Belanjawan Selangor 2021 memfokuskan kepada lima strategi iaitu:

i) Agenda Digitalisasi Selangor, Pemangkin Negeri Pintar Ulung
ii) Selangor Sentosa, Ummah Sejahtera
iii) Memacu Penciptaan Nilai dan Pembangunan Modal Insan
iv) Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan.
v) Merancakkan Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Industri

RM1.103 bilion atau 47 peratus daripada peruntukan keseluruhan akan digunakan untuk Perbelanjaan Pembangunan selaras dengan hasrat membimbing kecekalan rakyat dalam melalui fasa-fasa berbeza wabak Covid-19 yang belum lagi kelihatan penghujungnya.

Bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung serta Agenda Digitalisasi Selangor, sebanyak RM 369 juta diperuntukkan untuk pewujudan program baharu seperti Selangor Innovation Fund bagi membantu pengusaha startup dan memposisikan negeri Selangor sebagai ‘early stage investor’, Smartbox Pejabat Tanah Galian (PTG) untuk pemudahcaraan urusan tanah, Rakan Digital Selangor sebagai dorongan dan pendidikan awam serta kelangsungan program-program sedia ada seperti E-Kitchen 2.0 dan E-Sukan.

Inisiatif Data Internet Selangor turut diperkenalkan dengan peruntukan RM17.5 untuk membantu pelajar serta golongan yang memerlukan mendapat perkhidmatan internet pada harga yang lebih berpatutan.

Program NaDi Perkasa Keusahawanan

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor menceburi bidang keusahawanan, satu inisiatif khas yang diberi nama Niaga Darul Ehsan (NaDi) akan memberi pinjaman serendah RM1 ribu untuk membantu rakyat Selangor memulakan perniagaan kecil. Inisiatif Selangor EPembekalan Peruncit Mikro turut diwujudkan bagi membantu peruncit mikro dan kecil di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM56.5 juta untuk memperkasa sektor kesihatan awam, lebih-lebih lagi pada saat pandemik semakin menjadi-jadi. Jumlah ini 23% lebih tinggi berbanding peruntukan kesihatan dalam belanjawan lalu iaitu RM46 juta.

Kerajaan Negeri telah menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan peruntukan sebanyak RM62 juta untuk tahun 2021 melalui pemberian manfaat sebanyak RM200.00 sebulan dengan penambahan 5,000 orang penerima dari golongan ibu tunggal (KISS Ibu Tunggal) dari seluruh Selangor.

Bagi menyantuni warga emas, Kerajaan Negeri menyediakan RM27.5 juta untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2.0 yang memberi bantuan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris yang berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sambil meneruskan program Jom Shopping SMUE sedia ada.

Menyedari demografi rakyat Negeri Selangor yang melihat peningkatan golongan berumur, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Selgate Healthcare bersiap sedia untuk menawarkan
inisiatif penjagaan warga emas dan kanak-kanak melalui suatu kediaman komuniti bersepadu khusus yang selesa. Ini akan dilengkapi infrastruktur kesihatan beserta akses mudah untuk penjagaan dan pemantauan sekeluarga.

OKU Diberi Perhatian

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sentiasa menjadi perhatian utama Kerajaan Negeri dan akan diberi peruntukan sejumlah RM3.25 Juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU seperti pembelian alatan sokongan, ubat-ubatan dan nutrisi tambahan; terapi pemulihan anak-anak istimewa; kursus latihan asuhan serta seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

Inisiatif Food Bank Selangor akan diperluaskan untuk merangkumi Program Food Bank Kanak-Kanak yang menyasarkan golongan kanakkanak di bawah umur enam tahun khusus untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut dan ketidakseimbangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak, dengan peruntukan RM 6 juta.

Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat yang memantapkan institusi Islam, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM1.1 juta sebagai caruman majikan bagi memberi manfaat kepada 4,200 orang guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri turut mengumumkan inisiatif Bantuan Pengusaha dan Guru-Guru Tadika berjumlah RM 2 juta untuk tahun 2021 agar kos tambahan bagi pematuhan SOP pandemik tidak menjejaskan operasi harian mereka.

Atasi Isu Pencemaran Air

Untuk membendung masalah pencemaran air yang berulang, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200 juta untuk pelbagai usaha seperti Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor yang akan membuat rondaan 24 jam, penggunaan teknologi dron serta penambahan jumlah keanggotaan LUAS, Projek Perintis Rawatan Biologikal / BioRemediation untuk memulihkan kualiti air di Sungai Gong, serta penaiktarafan kolam takungan Hybrid Off-River Storage 600 (HORAS 600).

Sebagai sebahagian daripada usaha urban rejuvenation bagi pembangunan semula kawasan perkarangan stadium Seksyen 13 Shah Alam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan Youth and Sports City dengan nilai anggaran GDV sebanyak RM8 Bilion yang akan didirikan secara Public – Private – Partnership (PPP).

Bagi merungkai isu perumahan mampu milik yang sering kali menjadi perhatian rakyat, Kerajaan Negeri menyasarkan pertambahan sekurang-kurangnya 30,000 unit Rumah Selangorku di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan
dengan nilai hartanah lebih daripada RM750 juta yang bakal disiapkan menjelang tahun 2023.

Mahasiswa Diberi Bantuan

Memandangkan mahasiswa merupakan golongan yang paling terkesan saat ini, Kerajaan Negeri mengumumkan program ‘Bantuan Yuran Asas Universiti’ (BAYU) iaitu pelepasan bagi yuran asas khusus buat pelajar-pelajar UNISEL dan KUIS pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM 4 juta.

Bagi mendepani isu kesukaran mahasiswa mendapat tempat dalam pasaran kerja serta kehilangan pekerjaan yang dihadapi pekerja sedia ada, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengurangkan pengangguran sekaligus cuba membasmi kemiskinan dengan beberapa inisiatif seperti Selangor Kerjaya dengan latihan new skill, upskilling dan reskilling; Selangor Automotif TVET yang memadankan graduan TVET teknologi automotif dan bengkel automotif; serta Selangor Freelancers kerana semakin ramai yang memilih waktu kerja lebih anjal bagi memenuhi keperluan ekonomi mereka.

RM76 juta diperuntukkan dari Menteri Besar Incorporated dan Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi membiayai inisiatif-inisiaitf ini.

Belanjawan Selangor 2021 diharap dapat membantu rakyat bagi mendepani realiti baharu dalam pasaran dunia pasca Covid-19.

Harapan dan semangat optimisme yang diangkat melalui dokumen ini sewajarnya mampu menawarkan jalan keluar bagi menampan kesan kelembapan ekonomi dan dijangka mampu membina kecekalan rakyat dalam melalui hari-hari mendatang.

 


Pengarang :