Penumpang Bas Smart Selangor berbaris dan mengenakan pelitup muka sebelum menggunakan perkhidmatan percuma itu di Seksyen 13, Shah Alam pada 2 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM25 juta untuk terus perkhidmatan Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 30 OKT: Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor, yang dilaksanakan oleh 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2021, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, RM5 juta pula akan ditampung PBT sebagai perkongsian kos di antara Kerajaan Negeri dan agensi itu yang mempunyai lebihan rizab tunai baik dan berkemampuan menanggung kos perkhidmatan bas.

“Tanggungan bersama ini adalah sebagai langkah menggalakkan PBT mempelbagaikan usaha memberi lebih manfaat kepada rakyat, untuk terus menikmati kemudahan pengangkutan percuma,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan melancarkan sistem “Tap to Ride” pada Disember ini dan warga asing akan dikenakan tambang 90 sen seperti diumumkan pada Belanjawan 2020.

“Kutipan caj bayaran perkhidmatan ini akan digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan bas, menambah baik kualiti perkhidmatan Bas Smart Selangor serta penambahan bilangan dan laluan bas pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :