Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 26 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua kluster baharu dikesan, 84 disahkan positif Covid-19

SHAH ALAM, 7 NOV: Dua lagi kluster baharu dikesan di Selangor melibatkan 84 kes positif Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Teratai membabitkan jangkitan di Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat.

“Kes ke-35,263 merupakan kes indeks disahkan positif pada 2 November. Sehingga hari ini seramai 101 individu disaring, 74 positif, 17 negatif dan 10 lagi masih menunggu keputusan.

“Kluster Mahkota dikesan di Hulu Langat selain membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak. Setakat 12 tengah hari tadi, 56 disaring dengan sembilan positif, 28 negatif dan 19 menunggu keputusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengisytiharkan penamatan kluster Bah Puchong yang turut merekodkan kes di negeri ini selepas tiada jangkitan baharu.

“Sehingga hari ini, seramai 88 disaring, 14 disahkan positif manakala 74 negatif. Peratusan positif kluster ini adalah 15.91 namun tiada kematian dilaporkan,” katanya.


Pengarang :