SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 100 kanak-kanak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram menyertai program berkhatan secara percuma anjuran pejabat wakil rakyatnya.
Mohd Shaid Rosli berkata acara tahunan itu menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) berusia antara enam hingga 12 tahun.
“Kita memperuntukkan sebanyak RM15,000 dengan kos tanggungan setiap peserta RM150. Rata-rata ibu bapa membawa dua orang anak untuk menyertai program ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.
Beliau berkata program di Klinik Nuraisha Bandar Puncak Alam dijalankan secara berfasa membabitkan 50 kanak-kanak pada 29 November, manakala selebihnya semalam bermula jam 1 hingga 6 petang.
Tambahnya, program berkenaan akan diteruskan tahun depan memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya.
“Diharap inisiatif seperti ini membantu mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan sekali gus membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat,” katanya.