Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,348 kes harian baharu Covid-19, lima kematian

PUTRAJAYA, 23 DIS: Sebanyak 1,348 kes harian baharu Covid-19 dan lima kematian dicatatkan di Malaysia hari ini dengan Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi untuk lapan hari berturut-turut.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 98,737 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 18,279 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor mencatatkan sebanyak 535 kes atau 39.7 peratus daripada keseluruhan kes hari ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 363 kes atau 67.9 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan kes kedua tertinggi dengan 226 kes diikuti Sabah (189 kes), Melaka (124), Johor (118), Pahang (45), Pulau Pinang (43), Negeri Sembilan (31) dan Kedah (14).

Kes baharu turut dikesan di Perak sebanyak lapan kes; Sarawak, Kelantan dan Putrajaya masing-masing empat kes manakala Labuan (dua) dan Putrajaya (satu).

Dr Noor Hisham berkata daripada kesemua kes ini, 16 adalah kes import yang mana 12 daripadanya dikesan di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan satu di Sarawak.

Menurut beliau, negara hari ini turut menyaksikan sebanyak 710 kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 80,014 kes manakala 102 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata lima kematian dicatatkan hari ini melibatkan dua wanita berusia 40 dan 67 tahun dan seorang lelaki berusia 71 tahun di Hospital Sungai Buloh; seorang lelaki berusia 49 tahun di Sabah dan seorang lagi lelaki berusia 68 tahun di Negeri Sembilan.

Katanya, kesemua mereka mempunyai sejarah penyakit termasuk darah tinggi dan kencing manis.

– BERNAMA


Pengarang :