SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri melancarkan laman web www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa dekat dan panjang.
Dato’ Menteri Besar berkata perkhidmatan Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.
“Selain itu Selangor Kerjaya juga berinteraksi dengan orang ramai secara terus menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Linkedin, Twitter dan Whatsapp.
“Perkhidmatan ini adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan sejumlah RM58 juta untuk membuka peluang pekerjaan kepada warga Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.
Beliau berharap golongan belia khususnya graduan untuk mengambil peluang disediakan untuk membina kerjaya serta memantapkan ekonomi.
“Jangan lepaskan peluang tersedia, teruskan berusaha dan tawakal. Insya-Allah, kejayaan bakal menjadi milik anda,” katanya.