Pelajar dari pelbagai kampus IPT tiba di IPD Kuala Selangor sebelum dibenarkan pulang ke rumah keluarga masing-masing pada 2 Mei 2020. Foto IPD Kuala Selangor
SELANGOR

Satu daripada tiga kluster baharu babit pusat pengajian tinggi di Gombak

SHAH ALAM, 4 FEB: Tiga kluster baharu dikesan di Selangor hari ini dan salah satunya membabitkan pelajar dan petugas kesihatan pusat pengajian tinggi di Gombak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Jalan Gombak turut melibatkan Sepang, Petaling, Hulu Langat dan Cheras di Kuala Lumpur.

“Ia dikesan pada 18 Januari lalu hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini 1,110 individu disaring dan 41 dikesan positif,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata dua lagi kluster baharu di negeri itu membabitkan kilang di daerah Gombak dan Hulu Selangor.

Jelasnya, kluster Jalan Industri Rawang dikesan semalam hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Rawang Integrated Industrial Park. Sehingga kini, 156 individu disaring dan 23 positif.

“Manakala kluster Jalan Jasmine adalah hasil saringan bersasar dua kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Beruntung. Seramai 1,664 individu disaring dan 61 didapati positif,” katanya.


Pengarang :