ADNSELANGOR

ADN Morib sumbang makanan kepada 29 individu dikuarantin

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 29 individu dari enam keluarga di Kampung Kanchong Darat, Banting yang sedang dikuarantin diberi bantuan makanan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata mereka tinggal di lorang sama dan terputus bekalan sejak beberapa hari lalu.

“Bukan tiada makanan langsung tetapi disebabkan pendapatan secara harian, mereka tidak boleh bekerja ketika dikuarantin susulan seorang individu disahkan positif Covid-19.

“Bagi ringankan beban, kita sumbang beras, minyak masak, susu, mee segera, biskut, gula, serbuk kopi dan tepung. Semoga bantuan ini meringankan beban perbelanjaan keperluan dapur mereka,” kata Hasnul Baharuddin ketika dihubungi hari ini.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata sebelum ini bantuan sama pernah dihulurkan ketua kampung selepas mengetahui kejadian berkaitan.

“Bagi mengekang pandemik ini dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), semua makanan diletakkan di luar lorong perumahan untuk memudahkan mereka mengambil,” katanya.


Pengarang :