Kerajaan Selangor meneruskan saringan percuma Covid-19 melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang menumpukan lokasi jangkitan tinggi. Foto ARKIB SELANGORKINI
PILIHAN MINGGUANRENCANA

Selangor peruntuk RM6 juta perangi wabak

SHAH ALAM, 18 FEB: Usaha Kerajaan Negeri melaksanakan ujian saringan bersasar komuniti sejak April tahun lalu membantu mengurangkan penularan Covid-19 khususnya kepada kumpulan berisiko.

Bagi mempertingkatkan lagi usaha itu, Selangor meneruskan saringan percuma kepada 50,000 penduduk bawah Pakej Kita Selangor mulai sejak 6 Februari susulan peningkatan kes.

Ia ditujukan untuk manfaat penduduk sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya yang lebih memerlukan, antaranya warga emas, golongan berpendapatan rendah (B40) dan mahasiswa anak Selangor.

Dalam pengumuman pada 20 Januari lalu, sebanyak RM6 juta daripada peruntukan RM73.9 juta digunakan untuk Saringan Komuniti dan pusat pemantauan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat).

Dilaksana anak syarikat Kerajaan Negeri Selgate Corporation Sdn Bhd, pusat 24 jam itu sedang menunggu kelulusan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor, Unit Perancangan Ekonomi Negeri memaklumkan pusat panggilan beroperasi 24 jam bagi membimbing penggunaan kit kendiri di rumah.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan lima buah Bas Smart Selangor untuk mengambil dan menghantar pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang mulai 23 Januari.

Selain itu, Bas Smart Selangor turut digunakan bagi menghantar pesakit dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di sini sejak 9 Februari lalu.

Lebih 4,300 pesakit dijangka mendapat kemudahan ini dengan anggaran kos RM250,000 yang dijayakan dengan kerjasama operator Bas Smart Selangor dan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

 


Pengarang :