Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) ketika tinjauan di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: Belum tiba masa benarkan rentas negeri

SHAH ALAM, 13 MAC: Belum tiba masa untuk kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri meskipun kes harian Covid-19 menunjukkan corak penurunan.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata pandemik masih berbahaya dan mudah dijangkiti berdasarkan beberapa kluster baharu yang tercetus ekoran aktiviti terbabit.

Mengambil contoh kluster Bukit Bayas di Terengganu, kementerian itu berkata sebanyak 48 kes positif dikesan setakat semalam yang merebak ke lima daerah.

“Bermula dengan majlis tahlil dihadiri 45 ahli keluarga termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang akhirnya menjadi kluster apabila 15 daripada mereka disahkan positif.

“Kontak rapat keluarga menjangkiti kontak rapat di tempat kerja dan kontak rapat sosial termasuk rakan joging serta rakan main golf,” katanya di Facebook.

KKM berkata Kluster Pasai di Sarawak membabitkan aktiviti sama kes indeks dari Johor yang pulang ke Sibu bagi menghadiri pengebumian mendiang bapanya dan menyebar jangkitan ke rumah panjang.

“Lebih 2,600 dikesan positif dan masih aktif sehingga merebak ke generasi keenam,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan kerajaan memberi kelonggaran kepada orang ramai yang mempunyai kes kecemasan untuk rentas negeri dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Jika diri kurang sihat dan bergejala langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri,” katanya lagi.

-tamat


Pengarang :