Rosdi Zakaria bersama sebahagian koleksi penyerap hentak disediakan bengkelnya yang bukan sahaja ditagih di Lembah Klang bahkan seluruh negara
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Mekanik ‘cempiang’: Dulu RM4 di saku, kini taja kereta lumba

Foto REMY ARIFIN

PERNAH, sembilan tahun lalu, wang disaku hanya ada empat keping not seringgit. Saat itu pula, Rosdi Zakaria, 40, menyambut kelahiran anak bongsu. Runsing dan ceria silih berganti.

Anak ketiga pula telah lama diberhenti sekolah. Beliau tidak mampu. Memang gajinya sebagai penyelia kilang jenama terkenal penyerap hentak (absorber) tidak banyak mana.

Wang pula banyak dihabiskan tahun itu berulang-alik ke kampung di Pahang untuk menjenguk ibu mentua yang uzur dan sakit-sakit.

Namun, dengan cekal semangat – berbekal modal RM100 dan motor cabuk serta pengalaman 13 tahun ‘berminyak’ dengan penyerap hentak – Rosdi memulakan bengkel kecil-kecilan pada 2014.

Kini, perniagaannya melonjak maju. Bahkan, syarikat miliknya mampu menaja kelengkapan pasukan kereta lumba tempatan iaitu Garaj Daz Racing Team, SP Racing Team yang berlumba di litar Sepang.

Tanpa gaji

Rosdi tidak pernah malu meminta kerja sambilan di kilang atau bengkel. Malah di sebalik himpitan kewangan, beliau sanggup bekerja tanpa gaji demi menambah kemahiran.

“Saya buat kerja sambilan semata-mata hendak meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran. Sampai pernah minta kerja tanpa gaji di sebuah bengkel asalkan dapat peluang belajar benda baharu.”

Rosdi Zakaria memasang penyerap hentak pada salah sebuah kenderaan di bengkelnya di Sri Pristana, Sungai Buloh

Beliau bernasib baik apabila pemilik bengkel sudi memberikannya sagu hati RM50 sehari. Mungkin teguh kesungguhannya itu didorong peristiwa RM4.

Sejak memulakan perniagaan di rumahnya di Semenyih, Hulu Langat, Rosdi pernah bekerja santak ke pagi Aidilfitri demi menyiapkan tempahan pelanggan. Memang selalu begitu – bekerja hingga lewat malam – menjadi rutin hariannya.

Dengan Honda EX-5, Rosdi ke serata Lembah Klang mengambil dan menghantar penyerap hentak demi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kadang kala saya bawa sampai 16 batang penyerap hentak sekali gus naik motor. Memang penat tetapi saya bertahan demi memajukan perniagaan dan memastikan kehidupan lebih baik untuk anak isteri,” katanya.

Selepas beberapa tahun, Rosdi membuka bengkel di Damansara Damai sebelum berpindah ke Bandar Baru Sungai Buloh. Pada 2016, beliau berpindah pula ke Seri Pristana, Sungai Buloh hingga kini dengan nama D.R.E Speedbiz Holding (M) Sdn Bhd.

Beliau dan tiga pekerjanya mampu menyelenggara 32 batang penyerap hentak sehari dengan bayaran antara RM130 hingga RM260 sebatang.

Bengkelnya juga menjual penyerap hentak baharu, perkhidmatan membaiki dan menyelenggara enjin serta pendingin hawa.

Reputasi pakar

Namun, reputasinya lebih menonjol sebagai pakar penyelenggara penyerap hentak. Bengkelnya terkenal dengan jolokan ‘Cempiang’ dalam kalangan peminat ubah suai kereta. Rosdi tidak pernah tahu maknanya. ‘Champion’ atau handalan agaknya, fikir beliau.

Khidmat Rosdi bukan sahaja ditagih di Lembah Klang bahkan seluruh negara. Rosdi juga ada pelanggan dari Singapura dan Brunei. Lazimnya, mereka menghantar penyerap hentak kereta berprestasi tinggi dan mewah antaranya Nissan Skyline GTR, Subaru Impreza dan BMW.

Sesekali, Rosdi ke Pasir Gudang, Johor selama dua atau tiga hari dalam tempoh tiga bulan bagi memenuhi permintaan pelanggan di selatan tanah air termasuk Singapura.

Rosdi Zakaria mendapat turut mendapat bantuan modal dari Hijrah Selangor bagi meluaskan perniagaan

Dengan kerjasama bengkel di sana, Rosdi mampu menyiapkan 40 hingga 50 kereta sepanjang tempoh itu. Beliau meraih jualan mencecah RM40,000 dalam tempoh itu.

Rosdi kepingin sekali mengembangkan perniagaan dengan mengadakan bengkel bergerak dan mengembara ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pun begitu, di sebalik kemasyhurannya, Rosdi tidak pernah lupa jasa Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang membantunya untuk meluaskan perniagaan.

Beliau beberapa kali membuat pinjaman RM5,000 untuk membeli alat ganti, mengembangkan modal operasi (RM10,000) dan membeli aksesori kereta dan pelbagai mesin antaranya mesin melarik serta pemampat (RM30,000).

“Terima kasih kepada Hijrah kerana banyak membantu mengembangkan perniagaan saya. Kepada peniaga lain yang berpotensi untuk pergi jauh tetapi kekurangan modal saya sarankan cuba mohon pinjaman Hijrah untuk kembangkan lagi perniagaan masing-masing,” katanya.


Pengarang :