SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 437 anak petugas barisan hadapan di negeri ini menerima manfaat program Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan anjuran Kerajaan Selangor.
Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata jumlah itu melibatkan kanak-kanak berusia antara satu hingga 12 tahun daripada 334 keluarga barisan hadapan yang bertugas 24 jam bagi memerangi pandemik Covid-19.
“Jumlah ini melibatkan 12 pusat asuhan sementara. Mereka dijaga oleh petugas berpengalaman dengan penuh teliti sepanjang ibu bapa berkerja.
“Jadi dengan adanya pusat jagaan ini, para petugas tidak lagi bimbang terhadap anak-anak. Mereka boleh kerja dengan senang hati malah jika ada masa, boleh terus datang melihat keadaan anak-anak,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad selepas melawat pusat asuhan sementara Taska Aura Mawaddah di Hospital Orang Asli Gombak hari ini.
Lawatan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Norita Mohd Sidek serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Muhamad.
Dalam program terbabit, Masdiana turut menyerahkan beberapa bantuan antaranya alat tulis, pelitup muka dan alat permainan bagi kegunaan kanak-kanak di situ.
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal Januari lalu, Selangor melaksanakan inisiatif tersebut menerusi Pakej Kita Selangor secara percuma selama dua bulan bagi meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.