Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kedua tertinggi, kes harian Covid-19 kekal tiga angka

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kes harian Covid-19 di Selangor tidak banyak berubah dalam tempoh tujuh hari terakhir sejak Rabu lepas, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi itu berkata sebanyak 483 kes baharu direkod hari ini dengan tiga daripadanya kes import melibatkan mereka yang pulang dari Yaman, India dan Amerika Syarikat.

“Angka harian di Selangor turut melibatkan tujuh kes tahanan penjara selain tiada kluster baharu dilapor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam tempoh tujuh hari terakhir, negeri ini mencatat 294 kes pada 7 April, 374 (8 April), 403 (9 April), 415 (10 April), 535 (11 April) dan 303 (12 April).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan berkata Sarawak merekodkan kes harian tertinggi dengan 607 kes dikuti Selangor (483) Kuala Lumpur (133), Sabah (117) dan Kelantan (103).

“Pulau Pinang pula merekod 92 kes, Johor (74), Kedah (39), Perak (36), Negeri Sembilan (29), Melaka (17), Pahang (14) dan Terengganu (13), Putrajaya (7) dan Labuan (3) manakala tiada kes di Perlis.

“Ia menjadikan jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini adalah 1,767 kes manakala 1,290 kes sembuh,” kata Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.


Pengarang :