Elizabeth Wong (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kerusi roda bermotor kepada Muhammad Helmi Firdaus (tengah), turut sama Mohd Jaafarudin Mohd Ali (kanan) ketika Program CSR MBI di Pangsapuri Enggang, Puchong pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Bukit Lanjan tumpu atasi isu perparitan, bekalan air

SHAH ALAM, 3 MEI: Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan memberi tumpuan bagi mengatasi masalah perparitan, bekalan air dan banjir kilat yang menjadi kebimbangan ramai.

Dipilih sebagai wakil rakyat sejak 2008, Elizabeth Wong menerima pelbagai aduan termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) hingga kelompok berpendapatan tinggi (T20).

Apatah lagi, Bukit Lanjan antara tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di negara ini. Terdiri dari Bandar Sri Damansara, Kepong, Sungai Buloh dan Selayang, ia dihuni kira-kira 300,000 penduduk.

Justeru, beliau menegaskan pentingnya projek tebatan banjir di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh. Selain itu, beliau turut mendesak supaya paip lama di Selayang Jaya dan Selayang Utama digantikan bagi mengatasi isu berkaitan bekalan air.

Masalah lain yang turut diberi perhatian ialah masalah kesesakan trafik di Wangsa Permai, Kepong dan Sierramas di Sungai Buloh.

Elizabeth menegaskan keperluan membina jambatan dan juga jejantas tetapi sehingga kini peruntukan bagi membina kemudahan tersebut belum mencukupi.

Selain menangani isu itu, beliau juga berusaha mengumpulkan dana untuk membina panel solar di bahagian laluan pejalan kaki termasuk koridor dan tangga di perumahan kos rendah.

Beliau yakin misinya akan tercapai berdasarkan kejayaan mewujudkan stesen transit aliran ringan (LRT) berhampiran Kampung Sungai Kayu Ara sebelum ini.

Kerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dibuat bagi membina dewan serba guna untuk kegunaan orang.

“Sasaran saya ialah supaya sesiapa yang tinggal di Selangor, mengatakan bahawa di sinilah ‘rumah’ mereka, selesa dan seronok untuk didiami,” katanya.

Selain itu, Elizabeth juga merangka kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi merancakkan lagi kegiatan riadah di kawasan hijau.

Beliau menekankan kepentingan suasana hijau kerana persekitaran demikian meredakan tekanan emosi yang orang ramai dihimpit pandemik Covid-19.

“Melihat situasi Covid-19, saya melihat perlunya rakyat mempunyai ruang hijau bagi membolehkan mereka menghilangkan tekanan sekali gus mewujudkan masyarakat yang fizikal dan mental lebih sihat,” katanya.

Justeru, Elizabeth bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mewujudkan landskap lebih indah dan selamat untuk kemudahan riadah orang awam.

“Saya turut meneliti ada kawasan hijau yang kurang digunakan, disebabkan itu kita berminat untuk membangunkan tempat-tempat ini,” katanya.


Pengarang :