SHAH ALAM, 10 MEI: Penduduk sekitar Dusun Tua dan Teratai diseru menyertai program Saringan Komuniti percuma hari ini bagi mengesan jangkitan Covid-19.
Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata saringan diadakan di Dewan Orang Ramai Titiwangsa Hulu Langat dan Dewan Komuniti Taman Muda bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my,” kongsinya menerusi Facebook.
Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 8 Mei hingga 10 Jun.
Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih semalam sebelum diteruskan di Sungai Ramal dan Balakong semalam.
Program di bawah fasa mitigasi wabak pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.
Sebanyak 1,278 kes harian Covid-19 direkodkan di Selangor, majoriti berpunca daripada saringan kontak rapat.
Petaling kekal menyumbang angka jangkitan tertinggi dengan 342 kes diikuti Hulu Langat yang mencatat 272 kes.