AMPANG, 18 MEI: Program Saringan Komuniti percuma yang berlangsung di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gombak hari ini menerima lebih 3,000 penyertaan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,100 orang mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini.
“Jumlah itu hanya membabitkan pendaftaran menerusi SELangkah dan kita jangka jumlah ‘walk-in’ juga akan ramai selepas ini.
“Saya mendapat perkhabaran di Hulu Kelang (Dewan Serbaguna MPAJ AU2) jumlahnya ‘double’ dari yang ada di sini. Ini menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam komuniti untuk membuat saringan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke program Saringan Komuniti di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya dan seterusnya ke Dewan Serbaguna MPAJ, AU2.
Amirudin berkata menerusi program itu, angka yang lebih jelas akan diperoleh dan individu yang didapati positif Covid-19 dapat diasingkan ke pusat kuarantin sedia ada.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.
Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.