PUCHONG, 22 MEI: Lebih 3,000 penduduk sekitar Kinrara menghadiri Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, hari ini.
Tinjauan mendapati mereka rela beratur sejauh dua kilometer sejak jam 7.30 pagi meskipun ujian percuma anjuran Kerajaan Negeri bermula jam 9 pagi.
EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata jumlah kehadiran menunjukkan sikap bertanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama mengekang penularan wabak.
“Mereka yang hadir terdiri pelbagai golongan ada warga tua, muda dan remaja malah seisi keluarga membawa anak-anak kecil.
“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat semakin meningkat selepas kebanyakan kes positif melibatkan pesakit tidak gejala,” katanya yang juga wakil rakyat Kinrara ketika ditemui.
Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.
Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.
Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.