SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bertemu esok bagi berbincang pelbagai isu termasuk salah faham berkaitan tempahan vaksin.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata wujud kekeliruan dalam kenyataan Badan Bertindak Imunisasi Covid-10 Kebangsaaan (CITF) dan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).
“Saya baru berkomunikasi dengan YB Khairy Jamaluddin tentang kenyataan CITF & Selangkah, terdapat salah faham dalam kenyataan semalam.
“Esok, beliau ( Khairy Jamaluddin) undang saya untuk bertemu bagi selaras gerak kerja yang lebih padu di hari muka. Benda boleh bincang kenapa nak uar-uar di media,” kata Amirudin di Twitter hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif SELangkah Tengku Iesta Tengku Alaudin menegaskan mereka tidak terlibat dalam kecelaruan tempahan vaksin AstraZeneca.
Menolak sekeras-kerasnya dakwaan CITF termasuk tuduhan membuat tempahan tanpa kebenaran pemohon, beliau menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali.
Katanya, SELangkah juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap badan itu berikutan dakwaan palsu yang menjejaskan reputasi mereka.
Terdahulu, CITF mendakwa mengenal pasti punca sebilangan individu diberi janji temu penerimaan vaksin walaupun tidak membuat tempahan.
Mereka menuduh SELangkah memberi beberapa slot vaksin dalam jumlah besar tanpa semakan pangkalan data dan persetujuan individu.