Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Outreach Vaksinasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi pada 10 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 44,000 individu divaksin menerusi Selvax

BANGI, 10 JULAI: Seramai hampir 44,000 individu menerima suntikan vaksin di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) membabitkan komuniti dan industri sehingga Khamis lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata lebih 32,000 daripada jumlah itu membabitkan Selvax Industri manakala lebih 11,000 individu untuk Selvax Komuniti.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun pergerakan program bagi komuniti perlahan, ia mengikut nisbah ditetapkan iaitu 20 peratus daripada 2.5 juta dos atau 500,000 untuk kelompok itu.

“Selvax Komuniti bergerak mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan anggaran 1,000 penerima dan pelaksanaannya secara berperingkat.

“Pemberian vaksin tidak boleh dilakukan secara terburu-buru susulan perlu dilengkapi dengan dos kedua yang dijangka bermula 15 Julai ini,” katanya selepas melawat program pemberian vaksin di Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.

Amirudin turut memaklumkan, kerajaan Negeri dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam proses penyusunan data secara harian berbanding kaedah mingguan bagi kelancaran pemberian vaksin selain mengelakkan kesilapan dalam sistem.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selangor menyediakan dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak Covid-19 di tempat kerja.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :