Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Outreach Vaksinasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi pada 10 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDANASIONAL

MB: Kadar pemberian vaksin di Selangor mampu capai 10 peratus esok

BANGI, 10 JULAI: Dato’ Menteri Besar yakin kadar suntikan vaksin di Selangor mampu mencapai 10 peratus seperti disasar Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Dato Seri Amirudin Shari berkata setakat ini kadar tersebut meningkat kepada 9.8 peratus iaitu lebih 92,000 individu divaksin di bawah program berkaitan, tidak termasuk Vaksin Selangor (Selvax).

“Daripada segi persediaan dan kemampuan bekalan, Selangor berada di landasan tepat. Kita yakin jika kekal pada momentum ini kadar disasar dapat dicapai esok.

“Malah, dengan beberapa penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) dan bekalan yang mula datang, kita boleh mencapai 135,000 pada bulan ini dan 165,000 pada Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat program pemberian vaksin di Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Pada 15 Jun, kerajaan Selangor dan Persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Khairy berkata hanya 43,000 rakyat Selangor divaksin setiap hari ketika ini dan jumlah itu bakal meningkat kepada 165,000 orang menjelang Ogos.


Pengarang :