SHAH ALAM, 17 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengarahkan bekalan bakul makanan sampai dalam tempoh 48 jam di empat kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Penyelarasan PKPD yang dipengerusinya pagi tadi.
“Saringan Covid-19 akan dilakukan kepada semua warga dalam lingkungan PKPD terbabit yang mana warga positif akan diasingkan bagi tujuan pemantauan dan rawatan yang bersesuaian.
“Manakala warga yang didapati negatif akan divaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.
Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.