Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan gandingan Jepun Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida 17-21, 21-17, 21-17 dalam perlawanan peringkat kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Sze Fei-Nur Izzuddin dalam momentum terbaik harungi All England

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Selepas mencatat sejarah meraih gelaran Jelajah Dunia pertama pada Terbuka Jerman 2022 semalam, pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini berada dalam momentum terbaik bagi mengharungi Kejohanan All England 2022 di Birmingham, Rabu ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky yakin gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin mampu mengekalkan rentak kecemerlangan dipamerkan sepanjang Terbuka Jerman itu, dalam kejohanan badminton tertua dunia berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu nanti.

Beliau juga berkata aksi final Terbuka Jerman menyaksikan pasangan beregu negara tampil berani untuk menumbangkan pasangan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 23-21, 16-21, 21-14, malam tadi.

“Pada perlawanan semalam, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tampil berani untuk bermain di hadapan net dan kedua-dua mereka mempunyai komunikasi dalam gelanggang yang sangat baik antara satu sama lain,” katanya dalam satu klip audio dikongsi kepada media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rexy turut memuji pasangan ke-17 terbaik dunia itu yang menerapkan segala aspek dipelajari mereka dalam sesi latihan ketika beraksi di Jerman.

“Saya lihat mereka boleh melaksanakan segala latihan dalam perlawanan semalam dan permainan mereka lebih bebas.

“Mereka tidak bermain dalam tekanan membuatkan permainan mereka lebih baik dan mereka sangat ‘enjoy’,” katanya.

Kali terakhir pasangan negara itu mara ke perlawanan akhir adalah pada Masters Malaysia 2017 menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin muncul naib juara selepas tewas 19-21, 12-21, kepada Berry Angriawan-Hardianto dari Indonesia.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual membuka tirai aksi kejohanan All England 2022 berdepan He Ji Ting-Tan Qiang dari China pada pusingan pertama.

– BERNAMA


Pengarang :