SHAH ALAM, 23 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kerjasama strategik pelaksanaan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.
Kerjasama itu bertujuan menyelesaikan isu bekalan barang makanan khususnya membabitkan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi sementara PNSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim disaksikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim.
Izham ketika berucap berkata kerjasama antara kedua-dua pihak ini membantu memperkukuh rantaian bekalan makanan di Selangor.
“Walaupun kita bermula dengan telur, Insya-Allah akan diperluas skopnya. Malah, lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan jalin kerjasama sama ada antara Kerajaan Negeri mahupun Pusat.
“Kerjasama ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mendapat faedah terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya.
Program jualan murah itu dilancar sejak 28 Februari pada setiap hujung minggu menyasarkan 64 lokasi di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.
Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu mencatat jumlah jualan keseluruhan RM180,000 setakat 14 Mac.