EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melihat hasil tangkapan pengunjung di Kelong Paradise Waterfront Resort, Sabak Bernam pada 27 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Kelong Paradise tarikan baharu pelancongan, destinasi percutian keluarga

SABAK BERNAM, 27 MAC: Kelong Paradise Waterfront Resort, di sini menjadi tarikan baharu sektor pelancongan Selangor menerusi penambahan pelbagai kemudahan bagi keselesaan pengunjung.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata kelong yang dilengkapi kafe, bilik tidur, ruang untuk kanak-kanak, tandas dan surau itu bukan hanya sesuai untuk aktiviti memancing sebaliknya sebagai lokasi percutian keluarga.

“Selepas Majlis Daerah Sabak Bernam ambil alih, Kerajaan Selangor membelanjakan RM300,000 bagi menambah baik bangunan tiga tingkat ini. Banyak perubahan dibuat bersesuaian dengan keperluan pengunjung.

“Hasil tangkapan pemancing juga dilaporkan meningkat selepas kita tambah tukun tahun lalu. Hingga Julai ini, tempahan bilik sudah penuh,” katanya selepas merasmikan kelong berkenaan.

Izham berkata panel solar turut dipasang kerana ketika ini sumber elektrik dijana menerusi mesin generator selain menambah kapasiti simpanan air hujan untuk kegunaan pengunjung.

“Selain itu kerajaan persekutuan menerusi Jabatan Perikanan juga akan menambah 300,000 lagi longgokan tukun untuk menggalakkan pembiakan ikan.

“Dalam masa sama Kerajaan Negeri letak 300,000 unjam ikan bagi menghalang nelayan menggunakan pukat hanyut dan tarik untuk tangkap ikan,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Kerajaan Negeri menaik taraf kelong terbabit menerusi agenda pembangunan Sabak Bernam.

Selangor memajukan Pantai Batu Laut di Tanjung Sepat, Kelong Paradise dan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam untuk dijadikan taman ikan sekali gus berpotensi sebagai tarikan agro pelancongan.

Kelong Paradise Waterfront Resort, Sabak Bernam pada 27 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :