Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (kanan) memberi bekas air kepada pengunjung ketika melawat bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 5 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pengunjung bazar MBPJ bawa bekas, beg kitar semula dapat kupon RM15

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pengunjung bazar Ramadan sekitar pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang membawa bekas makanan atau beg kitar semula akan menerima kupon belanja RM15.

Tawaran 2,000 kupon yang boleh dituntut di laluan masuk bazar bagi mengurangkan penggunaan bekas polisterina dan beg plastik, kata Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir.

“Setiap bazar memiliki kuota berbeza. Kupon sah digunakan untuk membeli juadah pada hari berkenaan sahaja. Orang ramai boleh mendapatkannya setiap hari namun perlu membawa bekas atau beg sendiri.

“Usaha ini selaras dengan program Go Green dan kempen bebas beg plastik yang dianjurkan Kerajaan Negeri untuk memulihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

MBPJ menyediakan 20 lokasi bazar Ramadan melibatkan 646 peniaga sepanjang bulan ini, yang beroperasi mulai 4 petang hingga 7 malam.

Pada Februari, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kempen bebas beg plastik dipergiat secara besar-besaran tahun ini bagi mendidik masyarakat supaya mengurangkan penggunaan bahan tersebut.

 


Pengarang :