Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan Sukma di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Sukma 2022: 800 atlet Selangor dijangka terlibat 31 acara sukan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Seramai 800 atlet Selangor dijangka menyertai 31 jenis sukan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 diadakan di Kuala Lumpur dari 29 September hingga 8 Oktober depan.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata bagaimanapun jumlah itu tertakluk pada bancian Jawatankuasa Teknikal Sukma yang hanya akan diketahui selepas Aidilfitri nanti.

“Antara syarat penyertaan ialah setiap jenis sukan dipertandingkan disertai sekurang-kurangnya lapan negeri dan tidak diadakan sekiranya penyertaan tidak cukup.

“Buat masa ini, mereka sedang buat bancian dan akan muktamadkan semula jumlah penyertaan atlet mengikut jenis sukan diadakan,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Beliau berkata, prestasi atlet negeri kali ini dinilai berdasarkan rekod Sukma terdahulu atau kebangsaan kerana tiada kejohanan sukan dianjurkan sebelum ini.

“Setakat ini, atlet menjalani latihan seperti biasa iaitu selepas solat tarawih serta hujung minggu,” katanya.

Selangor menyasarkan meraih sekurang-kurangnya 60 pingat emas dengan kedudukan ketiga terbaik dalam Sukma 2022.

Temasya Sukma ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 akan berlangsung di sekitar Lembah Klang.

Penganjuran edisi dikenali ‘Sukma XX, MSN 2022’ disokong dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lepas bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang dipersetujui sebelumnya.


Pengarang :