BUDAYARENCANA

Dongeng musim tengkujuh

pukat kelabu. beku pasir. botol-botol adalah doa hanyut. suara tenggelam. di sini diam timbul paling. jawapan datang dalam bentuk serpih bianglala. jenazah karang mendengar. buih laut tujuh gelombang adalah panggilan pulang. angin hilang. ombak nira menggila. laut tiada. pantai warna gula lebih sakral waktu subuh rebah. sembah guru. air penawar. air tawar. air bunga seribu bunga. adat seperti dulukala. pulih datang. sembuh segar adalah soalan. langit bermain wayang. basah raung katak. hidup makin lebat. renung bangau garing. maut kian pekat. titih angin pusaka. jejak cari jumpa. temu sebab dan kerana. berat galuh ufuk bertambah sarat. senyap kolek terus keras. di sini tempat usul berasal. tumpah akar. darah tumbuh. menjalar mengalir menerpa panjang. dalam bentuk kerlip. luar rupa abadi. kesementaraan adalah sesuatu yang agak lama sebenarnya.

 

Jack Malik


Pengarang :