AMPANG, 17 APRIL: Sumbangan Kerajaan Negeri membantu sebuah keluarga meneruskan kehidupan selepas bapa mereka maut dalam insiden tanah runtuh Taman Bukit Permai pada Mac lalu.
R Ramabarathi, 23, berkata pemergian C Ramasamy selaku ketua keluarga masih lagi dirasai buat mereka sekeluarga terutama ibunya.
“Ibu sehingga kini masih sedih dengan ketiadaan ayah dan pada awalnya tidak mahu mengambil wang ini kerana kehilangan suami.
“Tetapi saya memujuknya dan mengatakan kehidupan perlu diteruskan serta memerlukan wang terutama kami kini hanya menyewa kereta berikutan kenderaan tidak boleh digunakan lagi akibat insiden tanah runtuh,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Norazmi Mohd Yusoff, 52, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan diberikan kepada semua penduduk Taman Bukit Permai.
“Rumah saya antara salah satu unit yang diarahkan berpindah sementara bagi membolehkan pihak berkenaan menjalankan siasatan.
“Alhamdulillah, kami sekeluarga telah dibenarkan pulang dan terima kasih atas sumbangan kerana dapat menampung semula kos berpindah sementara selama seminggu,” katanya.
Kejadian tanah runtuh pada 11 Mac lalu di Taman Bukit Permai 2, Ampang telah meragut empat nyawa dan seorang mangsa cedera selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.