Toyota Alphard berwarna putih yang memandu secara berbahaya dan melakukan provokasi di Lebuhraya Karak arah Genting Sempah yang tular di media sosial sejak 30 April 2022. Foto Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM
SELANGOR

Polis Gombak buru pemandu Alphard buat provokasi di jalan raya

SHAH ALAM, 1 MEI: Polis mengesan pemandu Toyota Alphard berwarna putih yang memandu secara berbahaya dan melakukan provokasi di KM 25.1 – KM 27.5 Lebuhraya Karak arah Genting Sempah yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu hari ini dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Dalam video berkenaan kenderaan pelbagai guna (MPV) ini telah didapati cuba memotong ‘que’ menggunakan lorong kecemasan dan perbuatan ini telah dirakam menggunakan dashcam (kamera papan pemuka).

“Pemandu MPV ini juga didapati telah menghalang laluan pengadu dengan melakukan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan terbabit mendapati terdapat 56 saman lampau yang masih belum dijelaskan.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian ini boleh hubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.


Pengarang :