SHAH ALAM, 2 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga jam 5 petang ini.
Amaran sama turut membabitkan seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak; Jeli, Kelantan; Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin di Pahang; Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Jasin, Melaka serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.