Petugas kesihatan mengambil darah peserta progam Selangor Saring bagi pemeriksaan di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Keputusan saringan kesihatan direkod dalam SELangkah untuk rujukan masa depan

SABAK BERNAM, 28 MEI: Keputusan pemeriksaan Selangor Saring yang dipapar dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan disimpan sebagai rekod kesihatan individu untuk rujukan masa depan.

Justeru Pengurus Besar Selgate Healthcare Sdn Bhd Dr Jeevarajah Ratnarajah menasihati peserta tidak memadam aplikasi berkenaan sebaik selesai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma itu.

“Kebanyakan yang hadir program saringan sudah muat turun aplikasi tersebut. Kita harap mereka simpan SELangkah dalam telefon bimbit masing-masing sebab keputusan ini penting untuk jejak semula semua maklumat berkaitan kesihatan.

“Kita juga mahu kekalkan SELangkah sebagai buku kesihatan, jadi ia memudahkan kita bagaimana untuk pakai data tersebut di kemudian hari,” katanya.

Beliau ditemui pada program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak di Pusat Konvensyen Hotel dan Mini Grand Sabak dekat sini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi program Selangor Saring yang dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Penyakit disaring meliputi kategori penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Kategori kanser membabitkan kolorektal, prostat, serviks serta payu dara manakala kategori mata pula merangkumi rabun, glaukoma dan retina

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi SELangkah bermula 16 Mei.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :