EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar Rodziah Ismail mengadakan pertemuan dengan bekas pemain Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 bagi membincangkan penyelesaian tuntutan daripada wakil dan juga bekas pemain. Foto Rodziah Ismail
AGENDASELANGORSUKANKINI

Pemain Piala Malaysia 1995 hargai ganjaran rumah pemberian Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 31 MEI: Bekas pemain Selangor yang memenangi Piala Malaysia pada 1995 menghargai usaha Kerajaan Negeri dengan menawarkan rumah walaupun dijanjikan tanah oleh pihak lain sebelum ini.

K Sanbagamaran turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar Rodziah Ismail.

“Selepas 27 tahun akhirnya kami semua menerima berita gembira, walaupun dulu dijanjikan tanah tetapi dapat rumah pun kami amat gembira dan berterima kasih.

“Ini hasil usaha keras yang diketuai abang Ismail (Ibrahim) dan Asmawi (Bakiri) yang merealisasikan impian kami sejak dulu lagi,” katanya kepada Selangorkini.

Ditanya adakah beliau kecewa selepas dijanjikan tanah sebelum ini tetapi hanya memperoleh rumah, Sanbagamaran mengakui bersyukur dengan pemberian ini.

“Saya gembira kerana ia adalah lebih baik daripada kami semua tidak dapat apa-apa.

“Malah bagi bekas pemain yang meninggal dunia seperti Anuar Abu Bakar juga akan menerima rumah ini menerusi waris beliau,” katanya.

Terdahulu, Rodziah berkata seramai 31 bekas pemain dan pegawai skuad Selangor yang memenangi Piala Malaysia pada 1995 akan memperoleh rumah dari Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.

Rodziah berkata tawaran Rumah Selangorku Idaman/Harapan itu adalah sebagai gantian kepada ganjaran tanah yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri terdahulu.


Pengarang :