SHAH ALAM, 1 JUN : Universiti Selangor (Unisel) berjaya meraih pingat emas menerusi Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Unisel memaklumkan universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu memenangi anugerah tersebut selepas kejayaan mencipta produk inovasi makanan ikan yang diberi nama Aquabetel®.
“Aquabetel® merupakan produk inovasi makanan ikan yang mengandungi bahan asas protein daripada tumbuhan akuatik dan diformulasikan bersama ekstrak herba terpilih.
“Ia bukan sahaja membekalkan nutrien yang diperlukan bagi keperluan pertumbuhan ikan, malah ekstrak herba yang diadun bersama makanan mampu meningkatkan tahap imuniti dan daya tahan melawan penyakit,” maklumnya di Facebook.
Produk makanan ikan itu dicipta sekumpulan penyelidik Unisel diketuai Dr Siti Hasmah Mohtar bersama Noor Fazreen Dzulkafli, Nur Akmal Suliman, Rozila Alias, Yasotha Sundaraj dan Saidina Umar Johari.
Produk itu mendapat perhatian pengunjung ITEX 2022 terutama pemain industri sepanjang dua hari pameran berlangsung di KLCC pada 26 hingga 27 Mei 2022.