Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan pengusaha gerai makanan sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dataran Sungai Tua Taman Seri Selayang, Gombak pada 31 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menang Pemilihan KEADILAN 2022, Amirudin gesa parti tumpu PRU15

GOMBAK, 1 JUN: Dato’ Seri Amirudin Shari yang baharu dipilih sebagai naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi sesi akan datang mahu kepimpinan menumpukan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, PRU kali ini dijangka lebih mencabar berbanding pemilihan 2018, justeru semua pihak termasuk konsensi Pakatan Harapan perlu bekerja keras bagi mendapatkan semula mandat rakyat.

“Hala tuju kita jelas dan perlu lebih fokus untuk PRU. Saya harap kerjasama dari semua pihak termasuk melibatkan yang kalah (pemilihan parti) kerana ini menentukan pentadbiran (negara).

“Yang kalah pun ada kekuatan masing-masing dan harus diajak bersama untuk beri sokongan selain mereka ada asas di akar umbi,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Sungai Tua malam tadi.

Dalam pemilihan parti penggal 2022/2025, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri itu mendahului persaingan jawatan naib presiden, mengatasi pencabar terdekat Chang Lih Kang.

Keputusan tidak rasmi turut menunjukkan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berada di tempat ketiga diikuti Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminudin Harun.

Amirudin turut mengekalkan jawatan ketua cabang Gombak selepas menewaskan bekas pengerusi KEADILAN Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.


Pengarang :