Penyampai radio popular Suria FM DJ Lin yang berjaya menggamit perhatian pendengar menerusi segmen Suria Cinta. Foto DJ LIN
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

DJ Lin kongsi kata semangat, suara lunak cair hati pendengar

Oleh Intan Syuhada Akhir

Suaranya lembut. Menarik halwa telinga sesiapa yang mendengarnya. Ditambah pula pujuk rayu dan kata manis yang cukup mencairkan hati. Apalagi sang pendengar sedang kesunyian tiada berteman.

Itulah DJ Lin. Berkumandang mulai Isnin hingga Jumaat antara jam 10 malam hingga 1 pagi dalam segmen Suria Cinta. Kaedah penyampaian pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 46, cukup memikat.
Kepandaian memilih lagu cinta untuk diputarkan dalam segmen itu juga tidak pernah gagal membuatkan pengikut melekat di radio.

Ketika pandemik melanda negara dan masyarakat sedang menyesuaikan diri dengan Perintah Kawalan Pergerakan, slot Suria Cinta oleh DJ Lin menjadi perhatian pendengar. Jika sebelum itu, hanya sekadar bercerita tentang cinta, ia berubah menjadi platform untuk luahan perasaan, kisah rumah tangga dan kemelut masyarakat semasa tempoh kuarantin.

“Sepanjang pandemik, ada ramai hilang kerja, hilang teman hidup dan mereka ceritakan kesusahan mereka. Apa yang saya lakukan ialah kongsikan kata-kata semangat tentang kehidupan agar kita semua boleh menerima semua ketentuan. Sesekali saya juga akan berbual dan mencadangkan beberapa perkara sebagai jalan keluar kepada masalah mereka.

“Bukan itu sahaja, kami menerima banyak mesej di laman sosial meminta pertolongan seperti makanan asas dan lampin bayi. Mana yang mampu, kami akan bantu,” katanya.

Berasakan bakat suara yang dimilikinya sebuah anugerah dan tanggungjawab, tidak sekalipun DJ Lin bersikap sambil lewa terhadap tugasnya sebagai penyampai radio.

“Kerjaya sebagai penyampai radio memerlukan seseorang untuk bertindak secara profesional dan bukannya emosional. Jika kita marah terhadap sesuatu perkara, jangan sewenangnya kita lepaskan amarah atau rasa tidak puas hati kepada pendengar. Platform yang ada jangan kita gunakan sebagai tempat menyindir hanya kerana kita tidak berpuas hati kepada pihak tertentu,” ceritanya.

Tautan yang kuat dengan pendengar membolehkan anak kelahiran Johor itu menang anugerah antarabangsa bagi kategori Penyampai Radio Paling Dipercayai menerusi Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2021.

DJ Lin menerima anugerah sebagai Penyampai Radio Paling Berpengaruh dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Wanita 2021/22 di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur pada 24 Mac 2022. Foto DJ LIN

Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan menerima pengiktirafan sebagai Penyampai Radio Paling Berpengaruh dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Wanita 2021/22 baru-baru ini.

DJ Lin juga pernah menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Sri Angkasa (kategori Penyampai Radio Terbaik), Anugerah Penyampai Radio Paling Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak empat kali dan Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara 2012.

“Ini adalah rezeki. Diam tak diam, rupanya sudah 23 tahun saya di dalam industri penyiaran dan sudah menggenggam 10 anugerah,” katanya.

Azimat pesan ibu

Berasakan semakin banyak penghargaan yang diterimanya, semakin DJ Lin merendah diri.

“Saya selalu ingat pesan ibu. Katanya, sejauh mana pun kita pergi jangan lupa pandang ke bawah iaitu tempat di mana kita bermula.

“Jaga kelakuan kita dan jangan cepat beremosi. Saya belajar yang kita janganlah cari fasal dengan netizen dan jagalah hubungan dengan rakan-rakan media,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga tidak putus-putus berterima kasih kepada pendengar yang menjadi tulang belakang kejayaannya. Bermula dari penyampai radio biasa, kini beliau naik pangkat sebagai Pengurus Besar Suria FM selain mengendali segmen Suria Cinta.

Terkenal sebagai pekerja berdedikasi tinggi, cintanya terhadap kerjaya sebati dalam diri DJ Lin. Apalagi dia tenaga kerja perintis semasa penubuhan Suria FM, tentunya dia menginginkan ‘bayinya’ tumbuh cemerlang.

Dek kerana terlalu kuat bekerja menjayakan projek radio pada siang hari dan ke udara pada waktu malam, pernah beberapa kali beliau dikejarkan ke hospital dan klinik mendapatkan rawatan kerana tidak mempunyai rehat yang cukup.

“Saya memang bergelut dengan waktu tidur yang cukup. Setiap hari boleh dikatakan saya hanya tidur tiga hingga empat jam.

“Namun apabila sudah menjangkau usia 46 tahun, saya mula menjaga kesihatan. Kalau dulu minum kopi atau teh, saya akan ambil sehingga dua sudu gula. Sekarang tidak lagi. Saya juga kurangkan pengambilan nasi dan tukar kepada roti atau salad,” katanya.


Pengarang :