Pengerusi MPKK Kampung Tanjung Keramat, Mohamad Naser Mohamad Amid. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ketua kampung baharu tekad beri khidmat terbaik, bawa perubahan

KLANG, 5 JUN: Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dua kampung tradisi yang baharu ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan membuat perubahan di kawasan masing-masing.

Pengerusi MPKK Kampung Tanjung Keramat, Mohamad Naser Mohamad Amid, 41, berjanji menggalas amanah sebaik mungkin dengan memastikan tiada masyarakat tercicir daripada mendapat manfaat pendidikan, pekerjaan dan perniagaan.

“Sebelum ini kami menumpang dengan kampung lain, jadi mungkin agak tersisih. Selepas ia diwartakan hasil usaha Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, saya nampak hala tuju dan pembaharuan yang perlu dibuat terhadap kampung didiami kira-kira 500 penduduk ini.

“Diharap penduduk dapat beri sokongan dan kepercayaan untuk saya membuktikan perkara itu. Kalau boleh saya ingin mereka terutama anak muda lebih berjaya serta berani ke depan dalam menempuh arus pemodenan,” katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Anak Jati Kuala Selangor.

Pengerusi MPKK Kampung Teluk Piai, Arshad Samat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Teluk Piai, Arshad Samat, 62, mahu menyelesaikan isu kemudahan infrastruktur seperti balai raya, lampu jalan dan perparitan demi keselesaan kira-kira 600 penduduk.

“Kampung ini masih muda, baru berusia 50 hari, jadi kemudahan berkaitan belum ada dan perlu ditambah baik. Saya akan buat permohonan kepada pihak tertentu dengan bimbingan ketua-ketua kampung berpengalaman.

“Saya turut berharap penduduk dapat memberi kerjasama untuk mengharmonikan kampung ini,” kata bekas ahli majlis Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Malaysia.

Terdahulu, mereka ditemui pada Majlis Apresiasi Ketua Kampung Tradisi di Hotel Wyndham Acmar di sini semalam yang dihadiri EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah.

Borhan dalam ucapan berkata Kerajaan Negeri mewujudkan dua MPKK baharu di daerah Kuala Selangor pada Januari lalu, menjadikan keseluruhan kampung tradisi negeri ini sebanyak 373.


Pengarang :